fbpx

Hotspot selongkar dilema seniman jalanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGACARA Hotspots, Fikry Ibrahim.

BUKAN sekadar mengetengahkan hiburan semata-mata, program bual bicara Hotspot konsisten dengan misi mengetengahkan informasi berkaitan isu semasa seniman jalanan.

Program terbitan Unit Hiburan TV Radio Televisyen (RTM) tersebut juga mengutarakan dilema golongan terbabit yang digarap secara santai kepada penonton.

Penerbit Hostpot, Mohd. Alfarizal Hassan berkata, program yang mema­suki musim ketiga tersebut juga menjadi platform penggiat seni untuk meluahkan pendapat atau penambahbaikan setiap kali ada isu berbangkit.

“Apa sahaja isu semasa yang sedang hangat dibicarakan sepanjang minggu dalam kalangan seniman jalanan menjadi bahan dalam penerbitan.

“Respons diterima menerusi semua platform dalam laman sosial. Apa sahaja keluh resah mereka diambil kira. Kita kembangkan isu tersebut mengikut segmen-segmen yang bersesuaian,” katanya.

SELAIN fokus terhadap seniman jalanan, apa sahaja isu dunia seni turut menjadi bahan kupasan bersama tetamu jemputan di studio Hotspot.

Bagi menyempurnakan program berkenaan, pihak penerbitan turut menjemput tetamu jemputan ke studio bagi berkongsi pandangan.

Di sinilah topik dikupas, perbincangan artikel media massa dibincangkan, respons penggiat industri diambil kira dan dipertimbangkan menjadi panduan bersama.

Setiap satu daripada topik yang diangkat bukan sahaja membicarakan isu semasa dunia hiburan tempatan, malah antarabangsa secara santai selama satu jam.

Hotspot turut menampilkan perkembangan terkini artis dan personaliti undangan.

FIKRY IBRAHIM

Program Hotspot musim terbaru yang bersiaran setiap Rabu pukul 9 malam menerusi TV Okey (Astro 109/Myfreeview 110) bermula 5 Ogos lalu masih mengekalkan Fikry Ibrahim sebagai hos.

Pilihan dibuat kerana pelakon itu mempunyai karisma tersendiri dalam penyampaian setiap makluman secara jelas kepada penonton. Karektornya yang menyenangkan itu secara tidak langsung melancarkan lagi program penerbitan ini.

“Fikry memenuhi kriteria. Kami inginkan seseorang yang boleh menjadi pengantara yang baik, bersahaja dan mampu untuk mengawal keadaan ketika bersia­ran.

“Prestasi penyampaiannya pada setiap episod ketika berada di depan TV juga semakin meyakinkan,” kata seorang lagi Penerbit Hotspot, Abdul Rahman Mahadi berhubung pemilihan Fikry sebagai peneraju utama.

Untuk rekod, program berkenaan te­lah memulakan penerbitan sejak tahun 2017.

Menariknya, untuk siaran muzim kali, pihak penerbitan turut menjemput band yang berbeza membuat persembahan pada setiap episod.

Antaranya band Sevendays, Notorius, Hilary Ang Project dan Grovoology yang mempamerkan bakat semula jadi mereka sebagai pemuzik jalanan.

“Bersesuaian dengan matlamat Hotspot membantu dan memartabatkan seniman jalanan, kita juga prihatin dengan nasib buskers yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Secara tidak langsung, segmen sebegitu dapat memberi sokongan dan penghargaan terhadap bakat mereka,” tambah Mohamad Faez Zainal, juga salah seorang penerbit program Hotspot.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI