KUALA LUMPUR – Perkembangan baharu mengenai harga rumah ketika situasi Covid-19 masih tidak dapat diputuskan memandangkan pihak kerajaan belum lagi menerima sebarang laporan daripada Pusat Maklumat Harta Negara (NAPIC).
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr. Ismail Abd Muttalib berkata, penentuan harga sesebuah rumah selain melihat harga pasaran terbuka turut bergantung kepada pelbagai faktor walaupun dibangunkan sebagai sebuah perumahan mampu milik.
“Penentuan harga rumah dipengaruhi oleh lokasi rumah dibina, harga tanah, kos bahan binaan, kos bahan mentah, kos pematuhan seperti caj premium tanah dan sambungan utiliti yang dikenakan selain harga rumah mengikut harga pasaran terbuka.
“Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan tiada maklumat tepat sejauh manakah Covid-19 mempengaruhi harga pasaran berikutan Laporan Hartanah Separuh Tahun Pertama 2020 dan Indeks Harga Rumah Suku Tahun Pertama 2020 masih belum dikeluarkan oleh NAPIC.
“Namun, melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) telah laksanakan kempen pemilikan rumah 2020 di mana insentif kerajaan diberikan melalui pengecualian duti setem dan insentif oleh pemaju yang memberikan diskaun jualan sekurang-kurangnya 10 peratus yang dapat menurunkan harga pembelian rumah,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di sidang Dewan Negara, hari ini.
Ismail berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negara, Senator Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Ibrahim Abu Shah yang ingin tahu adakah kementerian akan mengurangkan harga rumah akibat daripada gangguan pendapatan isi rumah selepas wabak Covid-19. – K! ONLINE