KUALA LUMPUR – Keluarga wanita yang cedera akibat dihempap bongkah konkrit pembinaan Lebuh Raya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) kelmarin mahu menumpukan kepada kesihatan mangsa sebelum berfikir untuk mengambil tindakan lanjut.
Wan Aziqa Hanen Wan Maliki, 24, berkata, mereka belum memikirkan untuk mengambil tindakan saman terhadap pihak berkenaan kerana belum berbincang mengenainya.
Mengimbau semua kejadian itu, Wan Aziqa Hanen berkata, sebelum kejadian, kakaknya, Wan Aqilah Hanis, 25, dalam perjalanan pulang ke rumah di Ampang dari tempat kerjanya di Bukit Jalil.
“Akibat kejadian, kakak saya patah tangan dan tulang rusuk kiri dan dia mendakwa tidak ingat apa yang terjadi sebaik konkrit itu menimpanya, malah tersedar ketika orang ramai membantunya keluar dari kereta.
“Kami sekeluarga bersyukur dia terselamat dan keadaannya lebih baik berbanding hari ini (semalam). Dia telah dibenarkan keluar Hospital Canselor Tuanku Mukhriz, Cheras dan kami akan bawa dia ke hospital swasta untuk dirawat di sana,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Tambahnya, sekarang bukan masa sesuai untuk mengulas mengenai isu tuntutan saman kerana mereka perlu memberi perhatian mengenai kesihatan kakaknya.
Semalam Kosmo! melaporkan, seorang pemandu wanita cedera selepas sebuah bongkah konkrit pembinaan SUKE terjatuh dan menghempap kenderaan yang dipandu mangsa.
Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan agensi berkaitan memperketatkan lagi aspek keselamatan awam di tapak pembinaan.
“Kita perlu semak semula peraturan termasuk kadar denda dan hukuman yang lebih berat,” katanya.
Dalam pada itu, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia dalam satu kenyataan berkata, pihaknya akan menyiasat aspek membabitkan keselamatan, aktiviti pembinaan dan kualiti struktur binaan berikutan insiden tersebut.