KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membidas dakwaan seorang ahli politik di Sabah kononnya insiden pencerobohan di Lahad Datu pada tahun 2013 cuma suatu sandiwara negara.
Panglima ATM, Tan Sri Affendi Buang berkata, dakwaan ahli politik tersebut bahawa anggota ATM hanya membuat serangan kepada ayam dan anjing juga merupakan tuduhan yang tidak benar.
“Tuduhan itu memperlekehkan tugas serta tanggungjawab anggota tentera serta pasukan keselamatan lain dalam mempertahankan kedaulatan negara ketika itu.
“Ini merupakan suatu kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan tidak boleh diterima sama sekali. Kenyataan berkenaan turut menyinggung perasaan keluarga anggota yang terkorban, baik ATM mahupun Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Affendi menegaskan, ATM berperanan sebagai benteng pertahanan negara dan sentiasa bersedia untuk melaksanakan tugas terutama dalam mendepani ancaman.
Tegasnya, walauapa halangan atau cabaran, aspek pertahanan negara sentiasa didahulukan ATM bagi mengekalkan kesejahteraan dan kedaulatan negara ini.
Malah, kata beliau, pasukan ATM yang kini berusia 87 tahun telah menyaksikan banyak darah, pengorbanan dan keringat mereka terdahulu yang dicurahkan demi negara.
“Kenikmatan yang tersedia ini tidak datang bergolek, sebaliknya ia telah meriwayatkan satu perjuangan yang mempertaruhkan nyawa dalam mempertahankan kedaulatan setiap inci bumi tercinta,” katanya.
Justeru, beliau meminta semua pihak tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan dan mendatangkan kemudaratan terhadap
keharmonian negara.
“Peranan rakyat Malaysia seharusnya bersama pasukan keselamatan menjaga kedaulatan dan maruah negara kerana ia merupakan tanggungjawab bersama,” katanya. – K! ONLINE.