MANCHESTER – Pemain baharu Manchester United, Donny Van De Beek mengakui sangat kecewa ekoran kekalahan 1-3 pasukannya kepada Crystal Palace pada aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris awal pagi semalam.
Dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-66, Donny berjaya memberikan keterujaan kepada para penyokong United apabila meledak gol pertamanya bersama pasukan itu selepas 15 minit berada di padang.
Bagaimanapun, gol yang dilihat mampu mengobarkan semangat United selepas ketinggalan 0-2 sebelum itu tidak bertahan lama apabila Wilfred Zaha melebarkan jurang dengan gol ketiga untuk menutup malam sempurna Palace.
Justeru, Donny memberi amaran bahawa pasukannya perlu bangkit dan memperbaiki kesilapan sekiranya mahu meraih kejayaan musim ini.
“Aksi pertama di sini sudah pasti saya mahukan kemenangan. Namun, ia amat mengecewakan kerana kami tewas 1-3 di tempat sendiri.
“Pada sesi latihan minggu lalu, kami berjaya melakukannya dengan baik menyebabkan saya sangat positif tetapi kali ini kami turun dengan corak permainan yang sangat perlahan.
“Kami terlalu lama memegang bola dan menentang pasukan seperti Palace, kami sepatutnya turun dengan aksi lebih pantas ,” ujarnya. – AGENSI