Oleh SITI A’ISYAH SUKAIMI
PUTRAJAYA – Sebanyak 57 kes baharu Covid-19 dilaporkan termasuk lima kes di Kluster Kuarters yang dikesan di Tongod, Sabah sekali gus menjadikan jumlah kes positif sebanyak 10,276.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, tiga kluster aktif di Sabah turut mencatatkan kes baharu dengan 14 di Kluster Pulau, Kluster Selamat (12) dan Kluster Benteng LD (lima).
“Selain itu terdapat 13 kes tempatan lain di Sabah.
“Kluster Sungai di Kedah turut merekodkan satu kes baharu membabitkan rakyat Malaysia selain satu kes tempatan di Selangor iaitu saringan prapembedahan Hospital Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Berhubung kes import, beliau berkata, enam kes dilaporkan termasuk seorang warganegara yang mendapat jangkitan di luar iaitu Indonesia, United Kingdom, Pakistan dan Zambia.
“Sembilan kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi dengan dua kes memerlukan bantuan pernafasan serta tiada pertambahan kes kematian. – K! ONLINE