KUALA LUMPUR- Seramai 16,877 pengundi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sabah akan mengundi awal esok di 55 Pusat Mengundi Awal yang ditetapkan.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Ikmalrudin Ishak berkata, kesemua tempat undi akan dibuka mulai pukul 8 pagi melibatkan seramai 7,487 anggota tentera dan pasangan serta 9,390 anggota polis.
“Sepanjang proses undi awal ini, pematuhan kepada garis panduan pencegahan Covid-19 akan dilaksanakan seperti penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka, sanitasi tangan, saringan suhu badan dan merekodkan kehadiran.
“Proses pengundian awal ini akan disaksikan oleh ejen calon serta Pemerhati Pilihan Raya yang dilantik SPR,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Katanya, SPR turut menyiarkan proses pengundian awal berkenaan secara langsung yang boleh ditonton di laman Facebook SPR.
“Kesemua peti undi bagi pengundi awal akan disimpan di lokap-lokap balai polis dan kertas undi hanya akan dikira pada 26 September ini bermula pukul 4 petang.
“Pengiraan peti undi akan dijalankan di tempat pengiraan undi yang ditetapkan SPR dan urusan undi akan disaksikan oleh ejen masing-masing,” jelasnya. – K! ONLINE