TEMASYA Sukan Malaysia (Sukma) Johor yang dilaporkan menelan kos keseluruhan sebanyak RM935.8 juta sah akan berlangsung pada April 2021 selepas tamat penganjuran Para Sukma sebulan sebelum itu.
Perkara itu diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar, Johor semalam.
“Setelah meneliti pembentangan pihak sekretariat Sukma Johor, jawatankuasa bersetuju bahawa Para Sukma akan dikelolakan terlebih dahulu bermula 8 hingga 13 Mac 2021 dan kemudiannya Sukma Johor 2020 pada 2 hingga 10 April 2021.
“Ini selepas mengambil kira Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia dari 1 hingga 9 Mac yang menyaksikan 171 atlet akan terlibat dalam peperiksaan berkenaan.
“Saya dan juga Ahli Jawatankuasa Tertinggi akan mengadakan mesyuarat terakhir mengenai penentuan tarikh penganjuran itu secara muktamad pada Disember nanti,” kata Reezal dalam satu kenyataan semalam.
Selain medan pendedahan bakat baharu, Sukma Johor 2020 juga pentas persediaan atlet dalam memburu tempat mewakili negara ke Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam.
Sebanyak RM467.9 juta telah dibelanjakan bagi menyiapkan fasiliti berkelas dunia serta menaik taraf kemudahan sedia ada.
Sejumlah RM325.9 juta juga telah dibelanjakan oleh kerajaan negeri selain turut menerima peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan bernilai RM142 juta.
Sukma Johor menyaksikan 28 acara sukan dipertandingkan di Johor Bahru, manakala Muar menempatkan acara kanu, angkat berat dan silamban dan Kota Tinggi untuk lokasi pelayaran serta berbasikal lebuh raya.