Oleh MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
SABAK BERNAM – Seorang wanita daripada 27 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditangkap di kolam udang, Sungai Nipah di sini semalam positif Covid-19.
Pengesahan positif Covid-19 itu hasil ujian saringan awal terhadap wanita warga Indonesia berusia 45 tahun itu di Hospital Sabak Bernam.
Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Zulafendy Hassan berkata, kesemua PATI terdiri daripada 25 warga Indonesia dan 2 warga Bangladesh ditahan pukul 3 pagi menerusi Op Benteng Covid.
Katanya, mereka meliputi 14 lelaki, 12 perempuan dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 2 hingga 38 tahun.
“PATI itu menyusup masuk menggunakan tongkang sebelum didaratkan di pesisir pantai tanpa sebarang dokumen.
“Kesemua mereka menjalani ujian saringan awal Covid-19 dengan seorang daripadanya positif dan dimasukkan ke Hospital Sabak Bernam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau menjelaskan turut dirampas dalam operasi tersebut adalah 22 buah telefon bimbit pelbagai jenama dengan nilai keseluruhan RM3,200.
Ujarnya, 26 PATI yang negatif telah dibawa ke Balai Polis Sungai Besar untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya.- K! ONLINE