TURIN – Segala tumpuan kini terarah kepada Andrea Pirlo yang akan memulakan perlawanan pertama Serie A sebagai ketua jurulatih Juventus menjelang aksi bertemu Sampdoria di Stadium Allianz awal pagi esok.
Aksi itu bakal memperlihatkan kemampuan Pirlo, 41, dalam bidang kejurulatihan selepas beliau telah membuktikan kehebatannya sebagai pemain sehingga mendapat gelaran legenda Itali.
Para pemain setia pasukan itu meletakkan harapan tinggi buat Pirlo yang baru sahaja menerima lesen kejurulatihan profesional yang diambil pada Ogos 2019 untuk mengemudi Juventus memenangi gelaran ke-10 Scudetto musim ini.
“Sesuatu yang normal apabila semua orang mengharapkan anda menang kerana ini adalah Juventus. Saya pernah melalui situasi sama sebagai pemain sebelum ini,” kata Pirlo yang menggantikan tempat Maurizio Sarri bulan lalu.
Dalam masa sama, pengendali Guangzhou Evergrande, Fabio Cannavaro percaya rakan sepasukannya itu mampu menjadikan Juventus kekal sebuah pasukan yang digeruni di Itali dan Eropah.
“Inilah masanya buat beliau menterjemahkan falsafah permainannya buat Juventus dan pada masa sama menerapkan mentaliti kemenangan dalam diri setiap pemain seperti yang dilakukannya sebelum ini,” jelas Cannavaro.
Bintang terbaik dunia dari Portugal, Cristiano Ronaldo pastinya akan terus menjadi sandaran utama Juventus dalam misi menghadiahkan tiga mata pertama buat Pirlo menentang Sampdoria awal pagi esok. – AGENSI