KUALA LUMPUR – Syarikat peruncit perkakas rumah, MR. D.I.Y. membuka 33 cawangan baharu di seluruh negara pada hujung minggu lalu.
Pembukaan cawangan tersebut melibatkan 20 cawangan MR. D.I.Y., 11 cawangan MR.TOY dan dua cawangan baharu MR.DOLLAR.
Memeriahkan lagi acara pembukaan tersebut, pelanggan yang berkunjung di cawangan baharu itu pada 19 dan 20 September lalu telah menerima lebih 39,000 hadiah percuma bernilai RM900,000.
Naib Presiden Pemasaran MR. D.I.Y., Andy Chin, berkata, pihaknya menerima maklum balas positif daripada pelanggan berikutan acara pembukaan cawangan baharu pada Julai lalu dan keputusan menganjurkan acara serupa bagi pembukaan 33 cawangan baharu bulan ini.
“Konsep runcit MR. D.I.Y. berlandaskan barangan dan produk keperluan berkualiti pada harga munasabah, disokong oleh penawaran pilihan produk yang pelbagai, reka bentuk terkini dan perkhidmatan pelanggan berkesan.
“Kami tidak sabar-sabar mahu mengalu-alukan pelanggan ke cawangan MR. D.I.Y., MR.TOY dan MR.DOLLAR berhampiran mereka,” katanya menerusi kenyataan akhbar yang dikeluarkan di sini semalam.
Chin menjelaskan, pelanggan boleh membeli barangan keperluan rumah harian di MR. D.I.Y. tanpa ragu-ragu kerana kesemuanya beroperasi menurut garis panduan keselamatan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.