Tip dikongsi Ahli Parlimen India terbukti tidak berkesan
NEW DELHI – Seorang ahli Parlimen yang merakam video bermandi air lumpur dengan dakwaan cara itu boleh mencegah jangkitan Covid-19 kini disahkan positif virus korona, lapor Daily Mail kelmarin.
Ahli Parlimen negeri Rajasthan, Sukhbir Singh Jaunapuria ialah salah seorang daripada 24 Ahli Parlimen India yang disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian saringan pada 14 September lalu.
Kira-kira sebulan lalu, Jaunapuria berkongsi klip video itu di Facebook yang menunjukkan beliau sedang bergelumang dalam air lumpur tanpa memakai baju.
“Keluarlah. Bermain dalam hujan, duduk atas debu dan bekerja di ladang. Ini akan bantu bina sistem imuniti tubuh diri seseorang,” katanya.
Jaunapuria ialah satu-satunya ahli politik terkenal yang mencadangkan kaedah pelik itu sebagai rawatan koronavirus.
Sebelum ini, Presiden Belarus, Alexsander Lukashenko menarik perhatian ramai pada awal tahun ini dengan mengatakan aksi menaiki traktor, minum vodka dan mandi sauna boleh cegah virus korona. Bagaimanapun, beliau disahkan positif Covid-19.
India kini berdepan peningkatan kes positif Covid-19 dengan tambahan kes sebanyak 1 juta dalam tempoh 11 hari. India mencatat jumlah kes positif lebih lima juta orang dengan 83,000 kematian. – Agensi