PERTUKARAN ketua jurulatih Kelantan United, Nazrulerwan Makmor bagi menggantikan tempat Zahasmi Ismail masih gagal menghadiahkan kemenangan pertama pasukan itu dalam empat perlawanan terakhir Liga Premier.
Terbaharu, Kelantan United tewas 1-2 kepada Sarawak United pada aksi kelapan Liga Premier di Stadium Negeri, Kuching malam kelmarin sekali gus merupakan kekalahan kelima kelab itu musim ini.
Lebih malang, Kelantan United terus gagal mengelak daripada kekalahan selepas saingan Liga Malaysia kembali berlangsung bulan lalu sejak ditunda Mac lepas ekoran penularan pandemik Covid-19.
Bagaimanapun, Narulerwan tetap berpuas hati dengan persembahan ditunjukkan barisan pemainnya memandangkan ia adalah perlawanan pertamanya selepas mengambil alih pasukan sebagai pengendali sementara pada Khamis lalu.
“Saya baru dua, tiga hari bersama pemain tetapi mereka telah memberikan 100 peratus prestasi di atas padang. Saya cukup bangga dengan pemain-pemain saya.
“Masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki dalam perlawanan ini. Balik ke Kelantan nanti saya akan maklumkan kepada para pemain mengenai perkara ini,” katanya.