DIVA jarang mendengar cerita kontroversi tentang pelakon Mimi Lana tetapi tiba-tiba namanya mencanak masuk ke gegendang telinga minggu ini.
Puncanya ialah baru-baru ini dia dijemput sebagai pengacara rancangan hiburan popular, MeleTOP bersama Nabil Ahmad.
Dalam rancangan tersebut, Mimi Lana memakai dres paras atas lutut rekaan sebuah jenama terkenal antarabangsa.
Pada mata Diva, busananya itu nampak biasa sahaja tetapi berbeza pula dengan pandangan penonton rancangan tersebut.
Ramai yang mengutuk dres tersebut kerana dikatakan tidak sesuai dipakai dalam rancangan siaran langsung.
Malah, mereka berpendapat pakaian yang digayakan bekas teman wanita Syafiq Kyle itu terlalu seksi untuk rancangan yang ditonton oleh penonton yang terdiri daripada semua lapisan umur.
Diva pun tengok rancangan itu dan nampak juga Mimi agak tidak selesa dengan pakaian tersebut kerana kerap juga dia membetulkan kedudukannya.
Tidak cukup dikritik dalam Twitter, gambar yang dimuat naik Mimi menerusi Instagramnya juga turut menerima komen-komen pedas daripada netizen.
Lebih teruk, ada yang mengaitkan isu pakaian itu dengan agama dan latar belakang pelakon filem Pusaka itu.
Namun, Diva puji sikap Mimi yang tidak melenting dengan semua komen dan membalasnya dengan cara berhemah.
Selain itu, ada juga yang menyuarakan pandangan iaitu cara penyampaian Mimi sebagai pengacara bersama Nabil nampak terlalu kekok.
Bagi Diva, situasi tersebut mungkin disebabkan pengalaman pertama Mimi berpasangan dengan Nabil. Jadi agak normal jika nampak canggung.
Kepada netizen, janganlah selalu sangat menghentam dan menghukum seseorang artis hanya kerana pakaian yang disarung oleh mereka. Kadangkala mereka hanya menurut arahan dan memenuhi komitmen yang harus disempurnakan untuk kebaikan produksi.
DIVA: Dengarnya ada artis wanita yang baru bercerai berlagak Diva ketika ditemu bual wartawan baru-baru ini.