fbpx

Air Sungai Gong hitam bukan berpunca daripada pelepasan elfuen -IWK

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kakitangan LUAS sedang mengambil sampel air Sungai Gong yang didakwa tercemar dengan sisa buangan semalam.

KUALA LUMPUR – Kejadian air hitam di Sungai Gong, Rawang semalam bukan berpunca daripada pelepasan air buangan atau elfuen Loji Rawatan Kumbahan Rawang Integrated Industrial Park (GBK134) milik Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK).

Ketua Pegawai Eksekutif (IWK), Narendran Maniam berkata, petugasnya telah mengenalpasti kemasukan buangan bukan kumbahan berwarna kuning ke dalam kebuk masuk loji yang mengakibatkan efluen di peringkat proses akhir tercemar.

Menurutnya, IWK mengesyaki terdapat pembuangan sisa secara haram yang berlaku berdekatan dengan loji sehingga bahan terbabit dapat mengalir masuk ke dalam loji.

“Petugas IWK terus menghentikan pelepasan discaj efluen dan operasi pembersihan segera dilaksanakan dan akan siap sepenuhnya hari ini.

“Kerja-kerja dos bahan kimia telah dijalankan dengan pantas bagi mengawal keadaan. Petugas kami masih memantau dan mengawal kemasukan air kumbahan ke loji terbabit,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau, loji tersebut merupakan “Oxidation Ditch (OD) Plant” yang bersambung kepada 11,106 penduduk setara, yang hanya meliputi kawasan perindustrian.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dalam satu kenyataan semalam melaporkan, air Sungai Gong menjadi warna hitam tetapi tiada bau dan disyaki disebabkan oleh pewarna.

Pada masa sama, LUAS turut menyatakan terdapat pelepasan efluen berwarna dan berbuih dari discaj efluen loji IWK.

Mengulas dakwaan LUAS itu, Narendran berkata, kenyataan itu mengelirukan orang awam dan sekali gus akan menunding jari kepada IWK biarpun punca sebenarnya mungkin disebabkan pembuangan sisa secara haram.

“Untuk makluman, loji rawatan air kumbahan hanya direka bentuk untuk merawat air kumbahan sahaja dan tidak mampu merawat bahan kimia atau sisa lain yang dilepaskan secara haram ke dalam jajaran paip pembetungan.

“IWK kecewa kerana sering menjadi sasaran mudah kepada sebarang kejadian pencemaran air seperti kejadian ini tanpa membuat pemeriksaan rapi atau melaporkan maklumat secara menyeluruh,” jelasnya.

Ujarnya, IWK sentiasa memastikan kerja-kerja operasi dan penyelenggaraan di semua 7,000 buah loji dibawah selian IWK sentiasa mengikut spesifikasi serta prosedur yang telah ditetapkan pihak berkuasa.

“Pembuangan sisa haram bukan kumbahan adalah satu kesalahan menurut Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA 2006),” tegasnya.- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI