Oleh MASTURAH SURADI
KOTA TINGGI – Enam pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Indonesia ditemui mati lemas di Pesisiran Pantai Teluk C, Bandar Penawar di sini pagi tadi.
Kejadian itu disedari orang awam pada pukul 9.40 pagi sebelum memaklumkan penemuan itu kepada polis.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, mayat yang ditemui terdiri daripada empat wanita dan dua lelaki dewasa.
Katanya, kesemua mangsa dianggarkan berusia antara 31 hingga 46 tahun.
“Mangsa dipercayai PATI dari Indonesia yang ingin masuk ke Malaysia melalui jalan laut di kawasan tersebut.
“Mereka dipercayai lemas apabila turun daripada bot pancung disebabkan ombak besar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Hussin berkata, susulan itu polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seterusnya dapat menangkap enam lelaki dewasa warganegara Indonesia dipercayai daripada kumpulan yang sama lebih kurang satu kilometer daripada tempat kejadian.
Katanya, mayat keenam-enam mangsa dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru untuk bedah siasat.
“Kes ini telah diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) manakala enam tangkapan mirgan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut,”katanya. -K! ONLINE.