Oleh SITI A’ISYAH SUKAIMI
PUTRAJAYA – Sebanyak 52 kes baharu Covid-19 direkodkan hari ini termasuk di Kluster Ara yang dikesan di Pulau Pinang menjadikan jumlah kes positif sebanyak 10,219 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut, 40 kes adalah penularan tempatan manakala 12 lagi kes import mendapat jangkitan dari luar negara.
Beliau berkata, kes indeks Kluster Ara ialah lelaki warga Malaysia berusia 44 tahun iaitu kes ke-10,024 yang dikesan positif melalui saringan di Pintu Masuk Antarabangsa Sandakan, Sabah pada 15 September lalu.
“Saringan kontak rapat telah dijalankan dan satu kes positif Covid-19 dikenal pasti semalam (kes ke-10,217) yang merupakan merupakan anak saudaranya dan telah dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Noor Hisham berkata, kes lain dikesan di Kluster Benteng LD dengan 27 kes, dua kes daripada Kluster Selamat serta masing-masing satu kes daripada Kluster Bakau, saringan komuniti Semporna dan saringan prapembedahan di Hospital Lahad Datu.
“Kes lain ialah satu kes saringan sebelum masuk kerja dan dua kes saringan petugas kesihatan di Hospital Lahad Datu,” katanya.
Beliau berkata, tiga kes positif Covid-19 turut dilaporkan di Kedah iaitu saringan komuniti di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran Daerah Kota Setar.
Berhubung kes import, Noor Hisham berkata, 12 kes dilaporkan membabitkan tiga warga Malaysia dan sembilan warga asing yang mendapat jangkitan dari India, Bangladesh, Yaman, Rusia dan Indonesia. -K! ONLINE