LEICESTER – Pemenang Anugerah Kasut Emas musim lalu, Jamie Vardy diramal berpeluang untuk memenanginya buat kali kedua berturut-turut berdasarkan prestasi cemerlangnya ketika ini.
Vardy, 33, berjaya meledak dua gol sewaktu aksi pertama Liga Perdana Inggeris (EPL) buat Leicester minggu lalu dan tidak mustahil dia mampu melakukannya lagi apabila menentang Burnley di Stadium King Power malam ini.
Bekas penyerang Manchester United, Andy Cole lebih cenderung memilih penyerang England itu untuk memenanginya berbanding nama-nama lain seperti Mohamed Salah (Liverpool), Harry Kane (Tottenham Hotspur) atau Pierre-Emerick Aubameyang (Arsenal).
“Jika anda merasakan kecemerlangan Vardy membantu Leicester memenangi gelaran juara EPL pada 2016 adalah yang terakhir, bermakna anda semua salah.
“Walaupun Vardy sudah berusia 33 tahun tetapi dia masih mampu memenangi anugerah penjaring terbanyak EPL sekali lagi berdasarkan karakter dan corak permainan Leicester musim ini,” katanya.
Bekas pemenang Anugerah Kasut Emas 1993-1994 bersama Newcastle United itu turut memilih nama penyerang sensasi Manchester City, Sergio Aguero yang dilihat sebagai salah seorang yang mampu memenanginya bersama-sama Vardy.
Sebagai rekod, Vardy memenangi anugerah itu dengan 23 gol, menewaskan Aubameyang dan penyerang Southampton, Danny Ings yang kedua-duanya berjaya menghasilkan 22 jaringan sepanjang musim lalu. – AGENSI