BANGKOK – Pengotor yang melawat taman negara di Thailand akan mendapat ‘hadiah’ tidak dijangka iaitu sampah sendiri apabila pulang nanti.
Menurut akhbar South China Morning Post, selepas sebilangan pengunjung meninggalkan sampah sarap di Taman Negara Khao Yai dekat Bangkok hujung minggu lalu, Menteri Alam Sekitar,
Varawut Silpa-archa bertindak mengutip sampah itu, membungkus dan menghantarnya kembali kepada pelaku menerusi khidmat mel.
“Kami mengutip dan meletakkan sampah anda ke dalam kotak dan menghantarnya ke rumah anda. Ini pengajaran buat anda supaya tidak membuang sampah merata-rata,” kata nota yang disertakan bersama mel tersebut.
Setiap pengunjung perlu berdaftar dengan pentadbiran taman negara justeru, pihak berkuasa tahu untuk menjejaki mereka selepas menemui sampah dekat khemah yang didirikan.
Selain kotak berisi sampah, nama mereka juga akan didaftarkan dengan polis tempatan kerana melanggar undang-undang taman negara.
“Adalah berbahaya untuk haiwan seperti rusa jika ia memakan sampah kerana sampah plastik tidak dapat dihadamkan,” kata ketua taman negara berkenaan, Narin Pinsakul.
“Sampah anda, kami akan hantarnya ke rumah anda,” kata Varawut pula dalam paparan di akaun Facebooknya bersama imej menunjukkan botol-botol kosong dan plastik makanan ringan yang diletakkan ke dalam kotak dan sedia untuk dipos.
Varawut turut memberi amaran dalam Facebook bahawa mereka yang membuang sampah boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda sehingga 500,000 baht (RM66,056). – Agensi