fbpx

Serangan asid urik jadi dorongan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nuurul HAADI kembali aktif menjaga kecergasan diri selepas mengambil kira faktor kesihatan.

PADA awalnya obsesi seorang pembantu juruteknik sebuah syarikat utiliti negara terhadap aktiviti senaman di gimnasium bukanlah kerana mahu memiliki bentuk tubuh yang menawan, sebaliknya selepas mengambil kira faktor kesihatan.

Nuurul Haadi Abd. Rahim, 33, berkata, penglibatannya dalam dunia kecergasan itu bermula kira-kira 10 tahun lalu ­ketika berat badannya mence­cah 118 kilogram (kg).

Menurut bapa kepada dua orang cahaya mata itu, keadaan kesihatannya mula merosot kerana tidak lagi melakukan aktiviti sukan selepas meninggalkan alam persekolahan.

“Waktu di sekolah saya memang aktif dalam permainan bola sepak, bola tampar dan silat, namun tidak lagi melakukan apa-apa aktiviti sukan selepas mula bekerja.

“Ketika itu berat badan mula bertambah selain berasa sakit-sakit badan disyaki akibat asid urik yang berkumpul selepas tidak aktif bersukan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Bukit Mertajam, Seberang Perai baru-baru ini.

Asid urik merupakan bahan buangan semula jadi daripada pencernaan beberapa jenis makanan yang mengandungi purin.

Kandungannya yang berlebihan boleh menyebabkan ­ke­sakitan pada sendi selain menjurus kepada penyakit gout.

Sementara itu, anak kela­hiran Alor Setar, Kedah tersebut berkata, bertitik tolak daripada situasi itu, dia mula menyertai aktiviti kecergasan dan me­ngangkat bebanan di sebuah gimnasium di Permatang Pauh pada tahun 2010 bersama rakan.

“Semenjak daripada itu, tiada lagi masalah sakit-sakit badan yang dialami sehingga sekarang, bahkan saya berasa lebih segar selain mencapai berat badan lebih baik iaitu 89kg ketika ini.

“Bagaimanapun, untuk mengekalkan bentuk dan berat badan dalam tempoh 10 tahun, ia bukanlah sesuatu yang mudah kerana saya perlu konsis­ten dan berdisiplin menjaga diet serta sesi latihan.

“Apa yang paling pen­ting saya perlu mengelakkan pengambilan gula serta me­ngurangkan minyak dan garam di dalam makanan selain berkunjung ke gimnasium tiga ke empat hari seminggu,” katanya yang menghabiskan kira-kira sejam di gimnasium pada setiap sesi.

Menurutnya lagi, selain mengamalkan diet seimbang dengan makan sebanyak enam kali sehari, dia juga turut mengambil beberapa suplemen dan makanan tambahan seperti serbuk protein, minyak ikan, multivitamin dan lain-lain yang menelan belanja sehingga RM1,200 sebulan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI