Oleh SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
LUMUT – Seorang nelayan yang dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam Sungai Dinding ketika sedang menarik pukat malam tadi ditemui lemas pagi tadi.
Mangsa, Azrin Hamidun yang berusia 30-an itu dilaporkan terjatuh di perairan Kota Siam di Sungai Dinding, Segari dekat sini kira-kira pukul 8 malam tadi dan ditemui kira-kira empat kilometer dari lokasi dilaporkan hilang kira-kira pukul 8.10 pagi ini.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung menerima panggilan orang awam yang memberitahu seorang lelaki jatuh ke dalam sungai ketika sedang menarik bubu naga di perairan tersebut.
“Berikutan itu, pihak polis telah melancarkan usaha mencari dan menyelamat (SAR) bersama pihak Bomba dan Penyelamat di Jeti Kampung Telaga Nenas.
“Mayat mangsa dijumpai terapung oleh nelayan di Sungai Dinding pada pukul 8.10 pagi dan terus dibawa ke jeti tersebut,” katanya.
Katanya, mayat telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Seri Manjung untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
Beliau berkata, setakat ini kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
Untuk rekod, penggunaan bubu naga bagi tangkapan ikan adalah diharamkan di negara ini.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, berkata seramai 12 anggota Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Tawar, tujuh anggota polis dan empat anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta nelayan tempatan terlibat dalam operasi SAR mangsa.
Katanya, masing-masing sebuah bot bomba dan Maritim terbabit dalam operasi itu yang kemudian ditamatkan pada pukul 10 pagi selepas mangsa berjaya ditemui kira-kira dua jam sebelum itu. – K! ONLINE.