PUTRAJAYA – Pemandu diingatkan agar tidak tidur dalam kenderaan dengan enjin masih hidup kerana ia boleh menyebabkan mereka keracunan gas karbon monoksida.
Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dalam satu infografik yang dikeluarkan semalam memaklumkan, tindakan segelintir pihak kononnya menurunkan cermin kenderaan boleh mengelakkan keracunan gas karbon monoksida juga bukanlah satu tindakan yang tepat.
“Sekiranya seseorang pemandu itu mengantuk, mereka disaran berhenti dan berehat diluar kenderaan atau ditempat yang sesuai serta mempunyai kitaran udara yang baik selamat dan segar tanpa membahayakan diri sendiri,” katanya.
Menurutnya, enjin kenderaan dihidupkan dalam jangka masa panjang tanpa menyedari kebocoran gas boleh berlaku daripada ekzos dan masuk ke kabin penumpang.
“Karbon monoksida tidak berbau dan tidak berwarna jadi anda tidak akan sedar yang anda sedang menyedut gas itu.
“Gas karbon monoksida akan mengurangkan keupayaan darah untuk membawa oksigen ke sel-sel dalam tubuh manusia dan menyebabkan kerosakan organ selain kepekatan gas monoksida yang tinggi dalam darah boleh membunuh,” ujarnya.
Menurutnya, pendingin hawa kenderaan perlu diselenggara dilakukan sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh enam bulan bagi mengelak insiden tidak diingini.
Kosmo! semalam melaporkan, empat sahabat yang sedang berehat di dalam sebuah kereta jenis Honda Odyssey dengan enjin terpasang mengundang tragedi apabila tiga daripadanya maut akibat terhidu gas karbon monoksida.
Kejadian itu mengakibatkan Sharifah Fariesha Syed Fathi, Ayuni Shazwanie Shabri dan Nor Adilah Mohd. Safwan yang masing-masing berusia 21 tahun maut, manakala Nor Aqilah dilaporkan kritikal.
Sementara itu, seorang pakar korporat, automotif dan sukan permotoran, Azad Jasmi berkata, apabila kenderaan tidak bergerak, asap dari ekzos akan memenuhi ruang kenderaan dan kemungkinan ia masuk melalui ruang tingkap yang dibuka.
“Ada pandangan menyatakan jika membuka tingkap pasti ada oksigen akan masuk, namun walaupun dengan tingkap dibuka gas tersebut tetap boleh terkumpul dan akan menyebabkan penurunan oksigen dalam darah.
“Kesannya mangsa akan kehilangan cecair dan air dalam badan selepas satu jangka masa,” ujarnya.
Tambahnya, kebocoran gas karbon monoksida bukan sahaja berlaku pada kereta lama tetapi kereta baharu turut terdedah dengan bahaya tersebut.
“Kebocoran gas dapat dikesan dengan beberapa tanda awal seperti perubahan suhu dalam kabin, bau yang kurang menyenangkan serta terasa loya.
“Apabila itu berlaku, segera bertindak dengan membuka tingkap, tutup pendingin hawa atau mengubah udara luar masuk,” ujarnya.