Oleh ASLIZA MUSA
IPOH – Identiti dua beranak yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah treler terbabas di Kilometer 20, Jalan Keramat Pulai menghala ke Cameron Highlands semalam, sudah dikenal pasti.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Superintenden Zakaria Abd. Rahman berkata, mereka adalah Riya Mohd. Afit dan anak lelakinya, Tamin Fardan Mohd. Elias.
Katanya, kedua-dua mangsa masing-masing berusia lingkungan 40 dan tiga tahun.
“Identiti kedua-dua mangsa itu diperoleh melalui akuan mulut suami Riya, Mohd. Zuki Abu Bakar, 45, yang cedera koyak tisu di bahagian paha,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 2.40 petang itu, lori muatan tiang besi dipandu Mohd. Zuki yang dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Cameron Highlands itu hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar tebing batu di tepi jalan.
Kemalangan itu menyebabkan isteri dan anak tiri Mohd. Zuki cedera parah selepas tersepit dalam kenderaan sebelum mereka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.
Mohd. Zuki yang cedera dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk rawatan kecemasan manakala dua mangsa lain turut dibawa ke hospital sama untuk bedah siasat.
Siasatan kes tersebut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE.