fbpx

Tiga nelayan cemas bot karam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tiga nelayan termasuk dua remaja Orang Asli terselamat selepas bot mereka naiki dipukul ombak dalam kejadian malam semalam. - Foto IHSAN APMM

JOHOR BAHRU – Tiga nelayan selamat selepas bot naiki mereka karam sebelum hanyut dipukul ombak di perairan Pengerang, Kota Tinggi dekat sini malam semalam.

Mangsa, Ogeven Ogen, 14, dan sepupunya, Timutius Tan, 16 serta bapa saudaranya, Ong Gim Hong, 55, dipercayai keluar menjaring ikan pada pukul 3 petang semalam.

Ketiga-tiga mangsa gagal dihubungi dan dikhuatiri hilang sebelum keluarga mangsa membuat laporan polis pada pukul 9.45 malam.

Pengarah Maritim Malaysia (APMM) Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan sebaik menerima laporan itu.

“Operasi yang diselaraskan APMM meliputi keluasan 20 batu nautika persegi dengan menggunakan sebuah bot APMM bersama sebuah bot dari Pasukan Polis Marin (PPM) dengan turut dibantu oleh komuniti nelayan tempatan.

“Pada jam 9.00 pagi tadi, MRSC Johor Bahru mendapat maklumat daripada Ketua Kampung Teluk Kabung berkenaan penemuan ketiga-tiga mangsa yang terdampar di daratan Pulau Tekong.

“Kesemua mangsa dalam keadaan selamat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Nurul Hizam berkata, siasatan awal mendapati bot mereka naiki karam selepas dipukul ombak semasa menjaring di perairan Pengerang sebelum hanyut ke Pulau Tekong, Singapura.

Jarak dari lokasi yang dilaporkan hilang dengan Pulau Tekong ialah kira-kira empat batu nautika.

Beliau berkata, mereka dibawa ke Jeti Teluk Kabong dan diarahkan untuk membuat laporan lanjut di balai polis berhampiran sebelum SAR ditamatkan pada pukul 10.15 pagi hari ini. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI