fbpx

Tapak kaki manusia berusia 120,000 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR yang diperoleh kelmarin menunjukkan tapak kaki manusia prasejarah yang ditemui di tasik kuno Alathar. – AFP

WASHINGTON – Sekitar 120,000 tahun lalu di kawasan kini negara Arab Saudi, sekumpulan kecil manusia prasejarah singgah untuk minum dan mencari makanan di sebuah tasik cetek yang juga kerap dikunjungi oleh kerbau, unta serta gajah purba.

Senario terperinci itu diba­yangkan semula oleh penyelidik-penyelidik menerusi kajian baharu yang diterbitkan dalam jurnal Science Advances, susulan penemuan tapak kaki manusia dan haiwan di Gurun Nefud.

Pe­nemuan tersebut memberi petunjuk baharu tentang laluan yang digunakan oleh nenek mo­yang manusia ketika mereka tersebar keluar dari Benua Afrika.

Pada hari ini, Semenanjung Arab terdiri daripada padang pasir kontang dan luas. Jika begitu keadaannya, rantau tersebut tidak sesuai untuk didiami oleh manusia prasejarah dan haiwan yang mereka buru.

Bagaimanapun, kajian sebelum ini mendapati iklim di Semenanjung Arab adalah berbeza malah, rantau itu jauh lebih subur dan mempunyai air satu ketika dahulu.

“Pada suatu ketika dahulu, gurun yang kini dominan di Semenanjung Arab adalah kawasan padang rumput dengan sumber air tawar seperti tasik dan su­ngai,” kata penulis bersama kajian itu, Richard Clark-Wilson.

Penulis pertama kajian sama, Mathew Stewart daripada Ins­titut Ekologi Kimia Max Planck di Jerman berkata, tapak-tapak kaki itu ditemui semasa dia me­lakukan kajian pada tahun 2017 di sebuah tasik kuno dikenali sebagai Alathar. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI