PETALING JAYA – Selepas diburu hampir lima tahun, seorang lelaki yang terlibat dalam penipuan tawaran gelaran ‘Datuk’ dari Istana Kelantan diberkas dalam satu serbuan di Kuantan, Pahang semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, suspek berusia 32 tahun itu ditahan pada pukul 11.40 pagi oleh sepasukan polis Kuantan sebelum diserahkan kepada polis Petaling Jaya.
“Hasil siasatan mendapati suspek memperdayakan seorang lelaki berusia 58 tahun yang bekerja dalam pasukan keselamatan bagi mendapatkan gelaran ‘Datuk’.
“Laporan polis berhubung kejadian dibuat pada 20 Oktober 2015 dan mangsa mendakwa membuat transaksi berjumlah RM20,000 ke akaun bank suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya lagi, siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai 11 rekod lampau membabitkan penipuan.
“Suspek direman dua hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – K! ONLINE