Oleh NOR AINNA HAMZAH
SEREMBAN – Seorang pekerja swasta mengalami kerugian sebanyak RM209,996.25 apabila terjerat dengan penipuan Macau Scam semalam dengan berkongsikan 17 kata laluan sekali guna (OTP).
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superintenden Aibee Abd Ghani berkata, mangsa wanita bujang berusia 48 tahun menerima panggilan talefon yang menyatakan dari Public Bank.
Menurutnya, pihak bank menyatakan mangsa mempunyai hutang kad kredit dan perlu menjelaskan hutang tersebut tetapi mangsa menafikan.
“Selepas itu panggilan mangsa telah disambung ke bank negara untuk membuat laporan mengenai kad kredit Public Bank seperti yang diberitahu oleh pihak bank berkenaan.
“Selepas laporan dibuat panggilan mangsa telah disambungkan kepada jabatan siasatan jenayah dan bercakap dengan Inspektor Yap,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Aibee berkata, inspektor berkenaan telah meminta nombor kad hadapan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) mangsa dan meminta mangsa memberikan 17 OTP melalui mesej di nombor mangsa.
Menurutnya, selepas tamat panggilan mangsa telah membuat semakan dan mendapati wang dalam akaun RHB bank mangsa telah berkurangan sebanyak RM99,998.75.
“Manakala, akaun bersama mangsa dengan kakak mangsa juga dalam akaun RHB Bank berkurangan sebanyak RM109,997.50 menjadikan jumlah keseluruhan kerugian mangsa berjumlah RM 209,996.25.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. Kita harap orang ramai akan lebih berhati-hati dan tidak terpedaya dengan panggilan Macau Scam,” katanya. – K! ONLINE