GOPENG – Gopeng Glamping Park (GGP) di Kampung Chulek di sini terkenal dengan lokasi percutian berkonsepkan khemah menjanjikan satu pengalaman menarik buat para pengunjungnya.
Namun tatkala bersantai, pastinya perut sentiasa lapar dan menu piza menjadi pilihan di GGP kerana ia dimasak menggunakan dapur kayu api bagi menawarkan cita rasa berbeza dengan haruman lazat berbanding piza yang terdapat di pasaran.
Pemilik GGP, Mohd. Nor Arif Mohd. Azmi berkata, Pizza Kayu Api Glamping menjadi signatur bagi pengunjung di lokasi percutian tersebut kerana ia mempunyai rasa istimewa apatah lagi bila dimakan panas-panas sebaik dikeluarkan daripada dapur.
“Bagaimanapun, piza dapur kayu ini hanya disediakan pada hari Khamis sahaja, oleh itu, pengunjung perlu membuat tempahan awal,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Menurut Mohd. Nor Arif, piza dapur kayu itu baru diperkenalkan pada Jun lalu bagi mencari pendapatan tambahan berikutan tapak perkhemahan ditutup kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Katanya, beliau memilih piza memandangkan kafe GGP memiliki dapur khas untuk menyediakan piza homemade, manakala doh dan sos dihasilkan menggunakan resipi sendiri.
“Saya tidak menjangka piza kami mendapat permintaan tinggi. Tempahan bukan sahaja dari Gopeng, malah dari Ipoh dan Batu Gajah.
“Apabila operasi GGP kembali seperti sediakala sejak bulan lalu, maka saya terpaksa tetapkan tempahan piza hanya pada hari Khamis sahaja,” ujarnya.
Buat masa ini, Pizza Kayu Api Glampuig ditawarkan pada harga RM15 sekeping untuk saiz 12 inci.