Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
MELAKA – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menumbuk kepala isterinya sehingga cedera pada Ahad lalu.
Tertuduh, Mohd. Hafizan Abu Bakar, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Teoh Shu Yee.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja telah menumbuk kepala isterinya, Norhassima Suhaini, 37, kira-kira pukul 7.30 malam di tepi jalan berhampiran Taman Tasik Utama di sini pada 13 September lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM4, 000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Terdahulu pendakwaan yang dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Nora Yaacob mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM4, 000 dikenakan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jaminan itu dikurangkan dengan alasan telah diberhentikan kerja, selain perlu menyara enam orang anak.
Selepas mendengar rayuan kedua pihak, Shu Yee kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2, 000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai.
Beliau turut menetapkan tarikh 10 November depan sebagai sebutan semula kes. – K! ONLINE