IPOH – Padah memberi suapan RM50 kepada anggota polis, seorang pekerja ladang warga Bangladesh dijatuhi hukuman penjara selama tiga bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim S. Indra Nehru membuat keputusan tersebut selepas tertuduh, Ariful, 41, mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan.
Mengikut pertuduhan, Ariful didakwa memberi suapan RM50 kepada Koperal Mohammad Azuan Ali supaya tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap tertuduh di hadapan sebuah bank di Jalan Stesen, Kampung Manggis dekat Tanjung Malim pada pukul 9.45 malam 6 September lalu.
Perbuatan rasuah tersebut dilakukan tertuduh sebagai dorongan untuk tidak diambil tindakan undang-undang atas kesalahan memiliki 13 karton rokok seludup mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dibaca bersama Seksyen 24 akta yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurul Wahida Jalaluddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Nurul Wahida memohon mahkamah mengenakan hukuman yang berat terhadap tertuduh memandangkan kesalahan serius merasuah anggota polis selain memiliki rokok seludup juga merupakan kesalahan yang serius.
“Saya pohon hukuman yang berat dijatuhkan kepada tertuduh bagi memberi impak pengajaran kepada dirinya dan masyarakat yang lain,” katanya.
Terdahulu, Ariful memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang ringan kerana dia merupakan penyara tunggal yang masih menyara enam adik-beradiknya yang lain di Bangladesh.
Indra Nehru kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama tiga bulan bermula hari ini dan denda RM10,000 terhadap tertuduh. Sekiranya gagal membayar denda, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tambahan selama tiga bulan. – K! ONLINE