GUA MUSANG – Seorang tukang urut orang kelainan upaya (OKU) penglihatan hanya mengenakan upah serendah RM5 untuk setiap urutan badan pelanggannya bagi menampung kehidupan keluarganya.
Azami Mat Zain, 54, yang tinggal di Kampung Tanah Putih di sini berkata, keputusan kerajaan membenarkan aktiviti refleksologi pada 1 Julai lalu memberi kelegaan kepadanya selaku tukang urut tradisional.
Katanya, sewaktu penularan pandemik Covid-19 melanda negara baru-baru ini, dia tidak memperoleh sebarang pendapatan hampir empat bulan dan hanya duduk di rumah.
“Mengurut merupakan sumber rezeki saya bagi membantu menambah pendapatan keluarga. Saya tidak menetapkan sebarang harga untuk mengurut dan ia bergantung kepada pelanggan.
“RM5 pun saya tidak kisah kerana soal bayaran upah mengurut menjadi nombor dua kerana ingin menolong mereka yang sakit badan melalui kemahiran yang ada ini,” katanya.
Bercerita mengenai penglihatannya, Azami berkata, dia hilang nikmat yang diberikan Ilahi itu sejak 15 tahun lalu selepas pandangan matanya mulai kabur.
Katanya, sebelum ini, dia bekerja sebagai buruh di beberapa buah kilang papan dan percaya matanya buta akibat dimasuki habuk kayu ketika itu.
“Sebelum itu, penglihatan saya menjadi semakin kabur sebelum buta sepenuhnya selepas setahun kemudian.
“Apabila sudah hilang semua penglihatan, saya perlahan-lahan menceburi bidang urutan tradisional dan kerjaya ini masih bertahan sehingga hari ini.
“Saya juga bersyukur apabila mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 untuk menampung perbelanjaan isteri dan seorang anak perempuan yang berusia 12 tahun,” katanya.
Tambah Azami, dia bersyukur apabila dapat menjalankan kembali pekerjaannya sebagai tukang urut meskipun negara masih belum bebas sepenuhnya daripada ancaman Covid-19.
Katanya, dia tidak pernah memilih kerja kerana tahu bahawa golongan OKU penglihatan lebih sukar mencari pekerjaan berbanding OKU kategori lain.