KLANG – Enam sekeluarga yang dipercayai baharu berjinak dalam pengedaran dadah sejak dua bulan lalu antara lapan individu yang diberkas dalam dua serbuan berasingan di daerah ini kelmarin.
Kesemua suspek berusia 17 hingga 52 tahun yang melibatkan enam lelaki dan dua wanita itu ditangkap dalam tempoh hampir empat jam bermula 7.30 malam di Persiaran Hamzah Alang dan Jalan Batu 5 di sini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohd. Khairi Shafie berkata, kejayaan itu hasil maklumat awam dan risikan pihaknya terhadap kegiatan pengedaran dadah di daerah ini.
Katanya, semasa serbuan dilakukan didapati enam sekeluarga itu sedang berehat di rumah mereka.
“Hasil pemeriksaan menemui bekas kertas bersaiz A4 yang mengandungi sebuah beg plastik lutsinar berisi bahan ketulan dan serbuk kristal disyaki syabu seberat 146 gram (g).
“Nilai dadah itu dianggarkan RM14,600,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kata beliau, siasatan awal mendapati mereka dipercayai baharu dua bulan terlibat dalam sindiket pengedaran dadah.
Tambah Mohd. Khairi, soal-siasat lanjut terhadap mereka kemudiannya membawa penahanan dua lelaki yang merupakan pembekal dadah kepada keluarga tersebut di dalam sebuah kereta jenis Perodua Viva di tepi sebuah hotel.
“Polis turut merampas sampul surat yang mengandungi sebuah lagi beg plastik lutsinar disyaki syabu seberat 200g dianggarkan bernilai RM20,000 di dalam kenderaan tersebut.
“Kita turut menyita wang tunai sebanyak RM1,000 disyaki hasil penjualan dadah berkenaan,” katanya.
Jelas beliau, harga sepeket syabu seberat 0.5g pada harga pasaran semasa di antara RM100 hingga RM150.
“Semakan rekod mendapati dua daripada kesemua suspek yang ditahan mempunyai rekod berkaitan dadah dan jenayah lampau.
“Mereka kini direman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – K! ONLINE