LIVERPOOL – Juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool bakal mendapat tonik baharu di jentera tengah selepas bersetuju untuk menandatangani Thiago Alcantara dari kelab Bayern Munich semalam.
Difahamkan, skuad The Reds yang dibimbing oleh Jurgen Klopp itu bersetuju untuk membayar nilai perpindahan sebanyak £27 juta (RM144.7 juta) kepada kelab gergasi Bundesliga itu.
Kontrak Alcantara yang menjadi nadi di posisi tengah skuad Bayern dalam membantu mereka menjulang gelaran trebel termasuk trofi Liga Juara-Juara Eropah musim lepas akan tamat pada penghujung musim depan.
Kini, Liverpool bersetuju untuk menawarkan kontrak jangka panjang buat pemain antarabangsa Sepanyol berusia 29 tahun itu dalam misi mempertahankan gelaran EPL musim ini.
Bekas pemain Liverpool, Danny Murhphy percaya kehadiran Alcantara bakal memberi dimensi baharu buat Liverpool khususnya di jentera tengah yang dilihat kurang kreatif sejak kebelakangan ini.
“Alcantara memiliki bakat luar biasa yang mana dia boleh menentukan tempo permainan sama ada ketika menyerang ataupun bertahan. Kehadirannya juga memberikan ketenangan buat posisi tengah selain mencipta banyak peluang buat barisan serangan Liverpool,” katanya.
Alcantara sebelum ini merupakan bintang yang meraih nama menerusi Akademi La Masia yang dimiliki oleh Barcelona dan membuat keputusan untuk berhijrah ke Bayern pada musim 2013.
Selain Liverpool, khidmat Alcantara sebelum ini telah dirisik oleh beberapa pasukan lain termasuk bekas kelabnya, Barcelona dan Manchester United.
– AGENSI