fbpx

Washington umum pendakwaan terhadap penggodam Malaysia, China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

WASHINGTON – Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) mengumumkan pertuduhan terhadap lima warganegara China dan dua rakyat Malaysia kerana mengendalikan operasi penggodaman selama sekurang-kurangnya enam tahun bagi tujuan mencuri identiti dan teknologi permainan video, memasukkan  perisian peras ugut serta mengintip aktivis-aktivis Hong Kong.

Tiga suspek China itu beroperasi dari Chengdu 404, sebuah syarikat berpusat di Sichuan yang menawarkan perkhidmatan keselamatan rangkaian komputer untuk perniagaan.

Mereka menggodam komputer milik beratus-ratus syarikat dan penganjur di seluruh dunia bagi tujuan mengumpulkan identiti, merampas sistem komputer untuk memeras ugut wang tebusan dan menggunakan ribuan komputer secara kawalan jauh bagi melombong mata wang kripto seperti Bitcoin.

Dua warganegara China yang pernah bekerja untuk Chengdu 404 dan dua rakyat Malaysia tersebut didakwa kerana menggodam syarikat-syarikat pembuat permainan video untuk mencuri rahsia dan ‘artifak permainan ‘ mereka seperti kredit sebelum menjualnya semula.

Kesemua mereka dikenali pakar-pakar keselamatan siber sebagai pertubuhan penggodaman APT41.

Walaupun sesetengah pakar mendakwa organisasi itu dikendalikan pemerintah China, pertuduhan tersebut tidak menyatakan kaitan rasmi kukuh berhubung perkara itu.

Bagaimanapun menurut kertas pertuduhan, seorang penggodam Chengdu 404 itu, Jiang Lizhi pernah bercakap besar kepada seorang rakan sekerjanya pada tahun 2012 bahawa dia dilindungi Kementerian Keselamatan Negara China, petunjuk bahawa mereka mendapat perlindungan asalkan tidak menggodam negara sendiri.

“Sebilangan penjenayah ini percaya hubungan dengan Republik Rakyat China (PRC) memberikan lesen percuma untuk mereka menggodam dan mencuri di seluruh dunia,” kata pendakwa raya persekutuan, Michael Sherwin.

Pertuduhan tersebut tidak menyebut sama ada kumpulan penggodam itu mempunyai motif politik tetapi mereka pernah menceroboh komputer kerajaan di India dan Vietnam.

Bagaimanapun, menurut pihak berkuasa AS, Chengdu 404 melancarkan program untuk mengumpulkan maklumat individu yang terlibat dalam gerakan demokrasi Hong Kong, media AS yang melaporkan layanan buruk Beijing terhadap etnik minoriti Islam Uighur di Xinjiang dan sami Buddha Tibet.

Ketujuh-tujuh penggodam itu berdepan sebilangan pertuduhan termasuk mencuri identiti, mengubah wang haram dan melakukan penipuan menerusi komputer.
Lima penggodam China itu masih bebas tetapi dua rakyat Malaysia berkenaan diberkas di Malaysia Isnin lalu, manakala AS meminta agar mereka diesktradisi untuk dihadapkan ke mahkamah. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI