LONDON – Seorang lelaki mengejutkan orang awam kerana menggunakan seekor ular sawa sebagai pelitup muka semasa menaiki bas awam dari Swinton ke Manchester, England baru-baru ini, lapor Daily Mail.
Aksi itu dilihat seolah-olah mempersendakan langkah pencegahan pandemik Covid-19 oleh kerajaan Britain.
Beberapa penumpang sempat merakam aksi lelaki itu yang menempatkan reptilia berkenaan seperti kalung pada lehernya. Dia kemudian membiarkan ular itu melingkar pada rel tangan di dalam bas berkenaan.
Seorang penumpang berumur 46 tahun yang enggan namanya disiarkan berkata, dia menyangka lelaki itu memakai sejenis pelitup muka berfesyen.
“Ternyata ia ular sawa sebenar dan mula melingkar pada rel pemegang tangan bas,” katanya.
Katanya, aksi itu agak menghiburkan dan reptilia itu tidak menganggu penumpang lain sepanjang perjalanan.
Jurucakap Pengangkutan Greater Manchester berkata, walaupun kerajaan membenarkan pemakaian pelitup muka buatan sendiri, kebenaran itu sudah pastinya tidak termasuk penggunaan kulit ular apatah lagi ular hidup.
Pemakaian pelitup muka adalah wajib dalam pengangkutan awam Britain melainkan penumpang diberi pengecualian atas faktor usia, kesihatan atau kelainan upaya. – Agensi