SEJAK kebelakangan ini isu ketum, penanaman dan penggunaannya banyak dilaporkan akhbar ini dan Utusan Malaysia.
Banyak pihak meminta kerajaan mengambil tindakan tegas bagi menghentikan penularan penggunaan tumbuhan dengan nama saintifiknya Mitragyna speciosa itu.
Di Malaysia ketum dilarang di bawah akta racun dan ramai yang sudah ditangkap atas kesalahan memiliki ketum.
Penggunaan daun ketum sudah lama diamalkan kerana khasiatnya.
Ia dikatakan dapat melegakan sakit kronik, memulihkan tenaga termasuk wanita yang baru lepas bersalin dan merawat sakit belakang.
Malah, apabila majlis kenduri di luar bandar di utara tanah air, air ketum dihidang kepada penanggah kenduri yang sibuk bekerja sepanjang majlis untuk kekuatan.
Tetapi kebimbangan utama ialah kandungan opioid yang boleh menghayalkan pengguna.
Ketika perbincangan mengenai ketum atau kratom terus hangat, eksport ketum Indonesia bernilai kira-kira AS$130 juta.
Di Thailand, tanaman ganja dan ketum untuk tujuan perubatan dibenarkan termasuk import dan eksport.
Thailand sedar akan potensi ganja dan berdasarkan unjuran Data Bridge Market Research, pasaran kanabis dunia untuk perubatan saja akan menjana pendapatan bernilai AS$82.1 bilion (RM339.1 bilion) menjelang 2027.
Mengenai ketum, ada laporan menyatakan bahawa Malaysia kerugian lebih RM100 juta setiap tahun berikutan larangan penanamannya untuk tujuan eksport.
Dianggarkan serbuk ketum boleh mencapai harga AS$25 atau RM104 bagi setiap kilogram.
Jadi satu tan serbuk ketum boleh mencapai AS$25,000 (RM103,000) berbanding RM2,900 untuk satu tan minyak sawit, satu tan kopi Robusta (RM5,737) dan getah SMR CV (RM8,340).
Terdapat juga pengeluar dari Indonesia yang menghasilkan teh ketum dan dieksport ke Amerika Syarikat dan Eropah.
Jadi terdapat keputusan komersial yang perlu diputuskan kerajaan dalam isu ketum. Pasaran global ketum dianggarkan bernilai ratusan juta ringgit.
Malaysia perlu membuat keputusan sama ada untuk membenarkan penanaman ketum secara terkawal, untuk tujuan perubatan serta penggunaan komersial dan eksport.
Atau untuk melarang sepenuhnya dan melupakan ratusan juta ringgit pendapatan untuk petani.
Sudah banyak kali Malaysia terlewat yang mana pada akhirnya negara lain meraih kejayaan walaupun tanaman atau tumbuhan itu tumbuh di belakang rumah kita.
Malaysia boleh berdiri di tepi dan melihat dunia berubah atau bersama meraih imbuhan daripada perubahan itu.