SEBERANG PERAI – Seorang pemuda maut selepas motosikal ditungganginya terbabas sendiri dalam kejadian di Jalan Baru, Perai di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.10 pagi itu, mangsa, K. Suresh, 23, meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Kawasaki RR dalam perjalanan ke arah Butterworth sebelum terbabas sendiri.
“Akibat kejadian itu, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum dihantar ke Hospital Seberang Jaya bagi bedah siasat,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE