MADRID – Krisis koronavirus menyebabkan sektor pelancongan global kerugian AS$460 bilion (RM1.9 trilion) dalam tempoh enam bulan pertama 2020 ekoran jumlah individu melancong menyusut, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam.
Jumlah kerugian itu berlaku antara Januari hingga Jun lalu menyamai ‘hampir lima kali ganda kerugian pelancongan antarabangsa yang direkodkan pada 2009 semasa krisis ekonomi dan kewangan global, menurut kenyataan Pertubuhan Pelancongan Dunia (WTO) yang berpangkalan di Madrid.
Jumlah ketibaan pelancongan susut sebanyak 440 juta orang semasa tempoh sama atau 65 peratus dengan penurunan paling ketara berlaku di Asia, rantau pertama terkena impak Covid-19.
“Ia mewakili penurunan yang belum pernah disaksikan, pada ketika negara di serata dunia menutup pintu kemasukan dan mengenakan larangan perjalanan sebagai respons terhadap pandemik,” menurut WTO.
Pada ketika sektor pelancongan semakin pulih di beberapa tempat, agensi itu memberi peringatan bahawa ‘penurunan permintaan pelancongan dan keyakinan konsumer’ akan terus memberi impak ke atas sektor berkenaan sepanjang tahun ini.
Jumlah ketibaan pelancong asing diramal susut kira-kira 70 peratus pada tahun ini kerana pandemik Covid-19.
Pelancongan antarabangsa naik empat peratus pada 2019 kepada 1.5 bilion, dengan Perancis menjadi negara paling banyak dilawati diikuti Sepanyol dan Amerika Syarikat.
Kali terakhir jumlah ketibaan pelancong tahunan susut adalah pada 2009 semasa dunia berdepan krisis ekonomi, susut empat peratus.
Agensi PBB itu berpendapat tempoh sekurang-kurangnya dua hingga empat tahun diperlukan untuk melihat jumlah ketibaan pelancong dunia kembali pulih ke paras tahun yang sama dicatat pada 2019. – AFP