Oleh IVAN AMIRUL
BEAUFORT – Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman membuat kejutan apabila muncul di program Peladang, Penternak dan Nelayan Sabah, dekat sini pagi ini.
Ia adalah kemunculan pertama beliau selepas lima hari penamaan calon sejak Sabtu minggu lalu.
Hadir memakai pelitup muka dan bertongkat, Musa yang duduk di kerusi tetamu kehormat kelihatan ceria sambil menunggu ketibaan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dataran Bagandang.
Kehadiran Musa itu turut dimanfaatkan orang awam serta pemimpin setempat untuk merakamkan gambar dan video.
Terdahulu, Musa sebelum ini menggemparkan lanskap politik Sabah selepas mendakwa memiliki majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan baharu menggantikan kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.
Keadaan terbabit seterusnya mengakibatkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seterusnya menetapkan 12 September sebagai hari penamaan calon dan hari pengundian pada 26 September. – K! ONLINE