ROM, Itali – Pemain pilihan ke-9 kejohanan, Garbine Muguruza sangat teruja apabila dapat meraih kemenangan pada pusingan pertama Terbuka Itali selepas berjaya menewaskan Sloane Stephens dengan kemenangan 6-3, 6-3 awal pagi semalam.
Keputusan tersebut menyaksikan pemain kelahiran Sepanyol itu mara ke pusingan kedua dan bakal bertemu dengan pemain remaja sensasi Amerika Syarikat, Coco Gauff hari ini.
Muguruza berkata, perlawanan menentang Stephens sangat sukar memandangkan kualiti serta kelebihan yang dimiliki lawannya itu ketika beraksi dalam gelanggang tanah liat sebelum ini.
“Ini adalah perlawanan yang sukar buat saya secara peribadi tetapi sangat gembira apabila ia berjaya dilakukan dengan kemenangan straight-set. Lebih manis, ia adalah kemenangan pertama saya di gelanggang tanah liat pada tahun ini.
“Pujian turut wajar diberikan kepada Stephens yang menggunakan segala pengalamannya untuk memberikan tentangan sengit tetapi saya berjaya mengawal setiap asakan dan membalas pukulan dengan tepat.
“Apa yang pasti, saya tidak boleh terlalu gembira kerana akan menentang Gauff di pusingan kedua yang saya anggap sebagai salah seorang pemain muda yang memiliki masa depan cerah dalam dunia tenis,” katanya.
Sementara itu, Gauff berjaya mara ke pusingan kedua selepas menewaskan Ons Jabeur dengan keputusan straight-set 6-4, 6-3.
Pemain dari Rusia, Daria Kasatkina turut melangkah ke pusingan kedua dengan menewaskan rakan senegara, Vera Zvonareva 6-2, 6-2. – AGENSI