BARCELONA – Jurulatih Barcelona, Ronald Koeman menegaskan beliau tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan Lionel Messi selepas pemain Argentina itu memilih untuk kekal di Camp Nou.
Sebelum ini, Messi meluahkan keinginannya untuk meninggalkan pasukan itu selepas pasukan tersebut gagal memenangi sebarang gelaran pada saingan musim lalu.
Meskipun sudah membuat keputusan kekal di Camp Nou, namun masa depan pemain berusia 33 tahun itu masih samar memandangkan kontraknya bakal tamat musim depan.
Koeman berkata, dia tidak mahu mencampuri isu tersebut memandangkan ia melibatkan Messi dan kelab, justeru beliau akan menjalankan tugas seperti biasa.
“Konflik tersebut hanya melibatkan Messi dan kelab, jadi saya tidak mahu masuk campur. Saya sudah bercakap dengan Messi dan kami akan jalankan tugas masing-masing.
“Sekarang kami sedang bekerja keras bagi mempersiapkan pasukan menghadapi musim baharu. Saya fikir ia memerlukan sedikit masa untuk kembali ke tahap terbaik,” kata Koeman.
Sementara itu, Barcelona dikatakan masih menjadikan penyerang Olympique Lyon, Memphis Depay sebagai sasaran utama pada jendela perpindahan kali ini, namun masih belum melakukan sebarang tawaran rasmi. – AGENSI