fbpx

K2

Kebun komuniti inspirasi UPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SALAH seorang penduduk melakukan kerja-kerja mencabut rumput yang tumbuh di sekitar kawasan tanaman.

SEBAIK pulang dari tempat kerja pada pukul 5.30 petang, lelaki berusia 54 tahun itu bergegas ke stor di belakang rumahnya untuk mengambil beg plastik berisi sejumlah serampang tangan.

Tanpa menukar pakaian kerjanya, Suboh Kasim melangkah laju ke sebuah kawasan lapang yang terletak di bawah blok Kemuning, Pangsapuri PKNS Seri Kembangan, Serdang, Selangor.

Ketibaan Suboh di kawasan seluas 10×20 meter persegi itu disambut dengan penuh mesra oleh lima orang jirannya yang juga baru pulang dari tempat kerja.

Selepas diagihkan serampang tangan, mereka bergerak menuju ke satu batas tanah sepanjang empat meter yang dipenuhi dengan pokok sawi.

Aktiviti Suboh dan jiran-jirannya pada petang itu adalah membuang anak rumput yang tumbuh di sekitar batas tanah dan menyiram pokok.

Itulah rutin harian Suboh dan jiran-jirannya pada sebelah petang sejak setahun lalu selepas wujudnya kebun komuniti di blok berkenaan.

Kebun komuniti tersebut terbentuk hasil inisiatif penghuni blok dengan kerjasama pihak Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Putra Malaysia (UPM).

MUHAMMAD ADIP (kanan) bersama penduduk Pangsapuri PKNS Seri Kembangan di salah sebuah kebun komuniti di kawasan tersebut.

Pihak UCTC UPM bertanggungjawab mendedahkan ilmu pertanian kepada penduduk di pangsapuri berkenaan melalui program Pembangunan Komuniti Pertanian Bandaran (PKPB).

“Selepas adanya kebun komuniti, saya dan 18 lagi jiran di blok ini aktif mengusahakan tanaman di sini. Kami akan bergilir-gilir melakukan tugas di sini mengikut waktu kelapangan masing-masing.

“Biasanya, kami akan menghabiskan masa selama sejam di sini untuk membuang rumput pada sebelah petang. Pada hujung minggu pula, kami akan melakukan kerja lebih berat seperti memindah anak pokok semaian ke batas tanah,” katanya ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.

Antara tanaman yang ditanam di kebun komuniti tersebut termasuklah sawi, kailan, bayam, serai, kesum, bayam Brazil, bunga kantan, bendi, ulam-ulaman dan buah-buahan.

Menariknya, kebun komuniti tersebut tidak terhad di blok Kemuning sahaja, malah ia turut diwujudkan di enam buah blok lain di pangsapuri berkenaan seperti Jati, Damar dan Sebelas.

Suboh yang menetap di pangsapuri berkenaan selama dua dekad memaklumkan, program PKPB membolehkannya mempelajari pelbagai ilmu berkaitan pertanian.

Ulasnya, segala ilmu yang diperoleh dalam program tersebut kemudian diaplikasi sepenuhnya pada tanaman di kebun komuniti.

“Rata-rata kami di sini tidak tahu cara untuk bertani. Selepas didedahkan dalam program PKPB, pelbagai ilmu pertanian dapat kami pelajari daripada pakar-pakar UPM.

“Ini secara tidak langsung menaikkan semangat kami untuk bertani. Jadi, kami sepakat melakukan tranformasi kepada kawasan terbiar di bawah blok menjadi kebun komuniti yang mampu memberi manfaat secara bersama,” terangnya.

UCTC UPM merupakan pihak yang menggerakkan sumber fizikal dan kepakaran intelektual di universiti berkenaan kepada masyarakat melalui pelbagai aktiviti dan projek.

Ketua Program PKPB, Muhammad Adip Mohd. Tamami berkata, penganjuran program tersebut bertujuan memberikan pendedahan kepada komuniti di Pangsapuri PKNS Seri Kembangan mengenai kepentingan pertanian.

Jelasnya, ia diharap dapat menarik minat penduduk untuk berjinak-jinak dengan pertanian menerusi kebun komuniti, sekali gus dapat membantu mengurangkan impak kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Kami memilih pangsapuri ini sebagai perantis kepada program PKPB kerana rata-rata penduduk di sini terdiri daripada golongan B40. Jadi menerusi program ini, kami berharap minat penduduk terhadap pertanian kian bercambah dan mereka boleh mendapat manfaat daripadanya.

“Hasil tanaman di kebun bandar ini boleh digunakan komuniti untuk memasak di dapur. Lebihan hasil mungkin boleh dijual kepada masyarakat setempat sekali gus dapat menjana pendapatan komuniti,” jelasnya.

Program PKPB melibatkan beberapa pensyarah dan petugas di tiga buah fakulti utama UPM iaitu Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan dan Fakulti Pertanian.

Muhammad Adip menjelaskan, ia berunsurkan pemindahan ilmu daripada pakar-pakar di UPM kepada penduduk menerusi seminar yang berlangsung selama lapan siri sebelum penduduk mengusahakan kebun.

SUBOH mengambil setandan pisang di kebun komuniti yang diusahakan di blok Kemuning.

Dia menambah, seminar melibatkan sekitar 40 hingga 50 penduduk pada setiap sesi itu merangkumi pembelajaran pertanian secara teori dan praktikal.

“Pembelajaran merangkumi pelbagai ilmu asas penanaman termasuk pengurusan tanaman, kawalan penyakit, haiwan perosak, pembajaan, penyiraman dan pembenihan anak benih.

“Pihak UCTC UPM juga mendedahkan komuniti dengan teknik tanaman seperti batas tanah, polybag, fertigasi dan hidroponik. Ia diadakan secara percuma,” katanya sambil memuji komitmen yang diberikan oleh para penduduk di pangsapuri tersebut.

Menurutnya, dalam masa singkat, para penduduk dilihat menunjukkan perubahan minat terhadap pertanian dan mula berkongsi ilmu dipelajari kepada jiran-jiran lain.

Katanya, menerusi perkongsian tersebut pihaknya sangat berharap semakin ramai penduduk di pangsapuri itu berminat untuk bercucuk tanam.

Dalam pada itu, Muhammad Adip menyasarkan untuk mewujudkan sebuah pusat jualan yang membolehkan hasil tanaman setiap blok dapat dikumpulkan dan dijual kepada orang ramai.

“Kami ingin menjadikan penduduk di sini seperti penghuni pangsapuri di Singapura yang mampu menjana pendapatan lumayan menerusi pertanian bandaran,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Pangsapuri PKNS Seri Kembangan, Mohd. Halizan Yusof, 59, berkata, dia menyambut baik usaha pihak UCTC UPM melaksanakan program PKPB di kawasan tersebut.

Jelasnya, pelaksanaan projek pertanian bandaran amat praktikal dalam menggalakkan penduduk menanam sayur-sayuran di sekitar kediaman mereka.

“Saya mewakili penduduk di sini ingin berterima kasih kepada pihak UCTC UPM kerana sudi memilih pangsapuri kami sebagai perantis program PKPB,” ulasnya.

Pangsapuri PKNS Seri Kembangan mempunyai 18 blok dan dihuni hampir 6,000 penduduk yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Mohd. Halizan yang menetap di pangsapuri tersebut selama 15 tahun menambah, program berkenaan juga dapat mengeratkan lagi silaturahim yang sedia terjalin antara penduduk.

Jelasnya, penduduk sering menghabiskan masa bersama dengan melakukan kerja-kerja di kebun komuniti sambil menjamah makanan ringan.

“Saya sangat gembira melihat penduduk di sini berinteraksi dan berkongsi idea dalam usaha menambah baik kebun komuniti masing-masing.

“Kebun komuniti ini juga merupakan medium terbaik dalam memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Pangsapuri PKNS Seri Kembangan, selain menyihatkan tubuh badan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI