Oleh MOHD RAFIE AZIMI
BERBAKI empat perlawanan musim ini, pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak jelas tidak mahu tumpuan pasukannya terganggu dengan terlalu memikirkan mengenai usaha mengejar Johor Darul Ta’zim (JDT) di puncak Liga Super.
Menurut jurulatih kelahiran Singapura itu, fokus para pemain serta seluruh anggota pasukan perlu ditumpukan kepada pasukan sendiri berbanding memikirkan mengenai kekuatan pasukan lawan.
Jelasnya, ketika ini perkara yang terbaik untuk dilakukan adalah memastikan Kedah dapat mengutip 12 mata maksimum dalam empat perlawanan terakhir berbanding berharap JDT tercicir mata pada aksi dilalui mereka.
“Kita perlu bersifat realistik betapa JDT merupakan salah satu pasukan terbaik dalam liga. Itu perlu diakui dan bukan mudah untuk melihat mereka tercicir enam mata dalam empat perlawanan terakhir ini.
“Justeru apa yang penting adalah kita laksanakan yang terbaik dalam setiap perlawanan. Fokus untuk dapatkan tiga mata dalam perlawanan berikutnya dan teruskan momentum cemerlang sebelum ini kerana yang paling penting adalah usaha kita sendiri,” katanya.
Aidil ditemui pemberita selepas menjalani latihan di Stadium Mini Jitra petang semalam.
Ketika ini, Kedah berada di tangga kedua liga dengan 13 mata daripada tujuh perlawanan manakala JDT gah di persada liga dengan 19 mata.
Dalam empat perlawanan terakhir, Kedah bakal bertemu Sabah, Pahang, Melaka dan Perak manakala JDT pula akan menentang Selangor, PJ City, Sabah serta Melaka.