BIRMINGHAM – Kapten Aston Villa, Jack Grealish mengakui bahawa tawaran mega yang diberikan oleh pasukan itu sukar buatnya untuk menolak sekali gus membuat keputusan untuk kekal di Villa Park.
Biarpun kuat dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford, Manchester United dilihat tidak mahu melayan permintaan Villa yang meletakkan tanda harga berjumlah £80 juta (RM426.16 juta) untuk melepaskan Grealish.
Kontrak baharu yang ditandatangani pemain antarabangsa England itu menyaksikan dia kekal di Villa Park selama lima tahun lagi dan menerima gaji mingguan sebanyak £130,000 (RM692,513).
Grealish mengakui dia membuat keputusan untuk kekal bersama Villa selepas yakin dengan cita-cita besar pemilik kelab itu bilionair dari Mesir, Nassed Sawiris dan rakan kongsinya, Wes Edens.
Menerusi kontrak baharu berkenaan, Grealish menerima peningkatan gaji mingguan sekali ganda dan kekal bersama pasukan itu sehingga 2025.
“Saya semakin yakin untuk memulakan aksi musim baharu. Ini penting kerana saya mahu memulakan musim dengan pasti di mana tempat saya sepatutnya berada.
“Saya tidak mahu beraksi beberapa perlawanan dengan Villa kemudian terpaksa berpindah kelab. Saya bersyukur kerana segala-galanya sudah selepas.
“Saya bercakap dengan Ketua Eksekutif Villa, Christian Purslow sebelum aksi persahabatan menentang United sebelum mengadakan rundingan bersama Nassef dan itu menyebabkan saya membuat keputusan menerima kontrak baharu,” jelasnya.
Villa berjaya menandatangani empat pemain baharu iaitu Ollie Watkins dari Brentford, pemain pertahanan kanan, Matty Cash dan penjaga gol Arsenal, Emiliano Martinez dan pemain sayap Lyon, Bertrand Traore. – AGENSI