fbpx

Fattah Amin hadiahkan lagu untuk anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FATTAH AMIN

KETERUJAAN Fattah Amin menunggu kehadiran cahaya mata bersama isterinya, Fazura kini berganda dengan pelancaran single islamik berjudul Kiriman Agung.

Istimewanya, lagu hasil ciptaan Hafiz Hamidun dan lirik bersama Fedtri Yahya itu didedikasikan khas untuk anak sulung yang bakal dilahirkan tidak lama lagi.

Malah, lagu terbitan syarikat rakaman Universal Music Malaysia itu juga percubaan pertama Fattah, 30, atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd. Amin menyanyikan lagu dalam genre nasyid atau ketuhanan.

“Lagu ini adalah hadiah buat anak yang bakal dilahirkan tidak lama lagi, Insya-Allah. Lagu ini lebih kepada doa dan harapan seorang ayah untuk zuriatnya. Lagu ini bukan saja untuk saya, tetapi juga buat mereka yang bakal bergelar bapa.

“Bagi penghasilan lagu ini, keseluruhan idea dan konsep datang daripada saya. Saya beri hala tuju lagu ini untuk direalisasikan oleh Hafiz dan Fedtri. Saya ceritakan kepada mereka apa yang saya mahukan untuk lagu ini. Jadi, secara asasnya lagu ini lahir dari hati saya untuk disampaikan pada pendengar,” kata Fattah.

LAGU Kiriman Agung didedikasikan Fattah untuk zuriat sulungnya yang bakal dilahirkan tidak lama lagi.

Pengalaman

Kombinasi antara muzik, lirik dan lontaran vokal daripada Fattah menjadikan naskhah ini lebih bermakna dan bermanfaat buat semua.

Kelainan untuk Fattah yang pertama kali berkarya dalam genre sebegitu menjadi satu ekperimentasi yang terbaik supaya dapat menjengah ke minda pendengar.

Penyanyi lagu Wanita Terindah itu berkata, idea penghasilan lagu berkenaan hadir selepas dia melancarkan lagu Bebas.

“Lagu Bebas mengangkat tema semangat dan inspirasi, jadi dari situ saya terfikir nak buat pula lagu ketuhanan iaitu genre yang belum pernah saya cuba.

“Apabila saya sampaikan idea ini kepada Universal Music Malaysia, saya fikir kenapa tidak buat lagu yang kena dengan keadaan saya sekarang.

“Apabila dipersetujui, saya terus sampaikan idea kepada Hafiz yang juga penerbit lagu ini,” katanya.

Berkongsi mengenai genre Kiriman Agung, bintang filem Special Force itu menyifatkan peluang merakamkan lagu genre ketuhanan tersebut sebagai yang terbaik buat masa ini.

Malah, momen rakaman juga memberikan pengalaman baharu buat dirinya sebagai penyanyi.

“Sebenarnya sudah lama saya teringin menyanyikan lagu ketuhanan atau islamik. Tetapi, ini pertama kali dapat peluang daripada Universal Music dan berpeluang pula berkolaborasi dengan Hafiz dan Fedtri.

“Jadi, inilah peluang terbaik buat saya untuk saya. Kalau ikutkan, sudah lama saya mahu merakamkan lagu ini, tetapi belum ada waktu sesuai,” katanya yang turut berdepan sedikit kesukaran sewaktu awal rakaman memandangkan Kiriman Agung menjadi percubaan pertamanya menyanyikan lagu genre ketuhanan.

Kata Fattah: “Saya dapat tunjuk ajar daripada penerbit. Jadi, kami bersama-sama berusaha sehabis baik dalam menghasilkan lagu ini. Alhamdulillah, saya puas hati dengan hasilnya yang cukup terbaik,” katanya.

Sama seperti single yang dihasilkan sebelum ini, Fattah juga meletakkan harapan agar dendangannya dapat diterima pendengar muzik tempatan.

“Berdasarkan komen saya baca pun, banyak memberikan maklum balas positif, sekali gus membuatkan saya gembira. Genre seperti ini sebenarnya masih ada peminat dan pendengar. Mereka

juga doakan yang baik-baik buat saya dan zuriat yang bakal dilahirkan,” katanya.

Kiriman Agung sudah boleh didapati menerusi semua platform digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan Apple Music sejak 11 September 2020.

LAGU Kiriman Agung menguji kemampuan Fattah dalam menyampaikan lagu bergenre ketuhanan dan islamik.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI