fbpx

Borhan, Mohd. Zawawi dilantik Exco Selangor baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Istana Alam Shah, Klang.
Borhan
Mohd. Zawawi

 

KLANG – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Sepat, Borhan Aman Shah dan ADUN Sungai Kandis, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni dilantik sebagai anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor yang baharu berkuat kuasa Sabtu ini.

Bagaimanapun, portfolio bagi kedua-dua mereka dari PKR itu akan ditentukan kemudian selepas mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah di sini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, portfolio bagi kedua-dua Exco baharu akan diketahui pada minggu depan.

Katanya, tiada rombakan besar-besaran akan dilakukan tetapi hanya melibatkan portfolio yang perlu diganti sahaja.

“Mungkin saya akan umumkan pada minggu hadapan ataupun dalam masa terdekat selepas berbincang dengan pihak-pihak terbabit.

“Rombakan tidaklah ‘major’ (besar) hanya akan melibatkan portfolio yang diganti atau diubah, mungkin melibatkan portfolio saya dan beberapa Exco yang lain,” katanya selepas majlis angkat sumpah pelantikan tersebut.

Berdasarkan rekod, portfolio yang belum diisi adalah Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan selepas ADUN Selat Klang daripada Bersatu, Datuk Abdul Rashid Asari ditamatkan pada Mac lalu berikutan penjajaran semula politik di peringkat persekutuan.

Sementara, porfolio Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar kosong selepas ADUN Lembah Jaya, Haniza Mohamed Talha dilucutkan keahliannya daripada PKR pada Julai lalu.

Dalam pada itu, Mohd. Zawawi dalam kenyataannya hari ini menzahirkan penghargaan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Majlis Pimpinan Negeri susulan mandat dan amanah yang diberikan kepada beliau.

“Saya akan berusaha untuk sentiasa berlaku adil dan saksama tanpa mengira fahaman agama dan politik dan memberi yang terbaik untuk kepentingan rakyat dan pembangunan negeri ini,” katanya. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI