fbpx

Bekas Setiausaha Sulit didakwa sekali lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Saifullah (depan) hadir di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini bagi dakwaan enam kes pertuduhan rasuah bernilai RM106,500. - FOTO Zulfadhli Zaki

SHAH ALAM – Seorang bekas Setiausaha Sulit Kementerian Pelancongan , Seni dan Budaya sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam pertuduhan rasuah bernilai RM106,500 berhubung dua tender kempen pengiklanan Tourism Malaysia pada 2018 dan 2019.

Mohd. Saifullah Mohd. Minggu @ Mohd. Hisham, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut kesemua pertuduhan, Mohd. Saifullah sebagai Setiausaha Sulit Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia meminta dan menerima suapan dengan nilai keseluruhan RM106,500 termasuk untuk pembayaran deposit sewa sebuah unit kondomium di Jalan Kia Peng, Kuala Lumpur daripada pemilik Syarikat Inter Bev Network Sdn. Bhd., Ronald Seto Kong Seng melalui Roslan Lahada.

Kesemua nilai rasuah itu sebagai dorongan untuk berjanji mendapatkan tender Perkhidmatan Penghasilan Penjenamaan dan Kreatif untuk kempen pengiklanan Tourism Malaysia dan tender Perkhidmatan Pembelian Ruang Iklan bagi pasaran negara-negara Asia Utara dan Timur kepada syarikat tersebut.

Perbuatan tersebut dilakukan di sebuah premis d sebuah premis di Temasya Anggun, Glenmarie, Burger King di Kota Damansara dan Petronas Pekan Dengkil dan sebuah bank di Bandar Puteri Puchong bermula 21 Disember 2018 hingga 30 Mac 2019.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun, denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Muhammad Asyraf Mohamed Tahir dalam prosiding hampir 15 minit itu memohon agar jaminan RM200,000 yang dikenakan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi 18 pertuduhan sebelum ini diguna pakai oleh mahkamah.

“Saya juga memohon enam pertuduhan ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarkan bersama 18 pertuduhan itu susulan saksi dan dokumennya hampir sama yang ditetapkan untuk sebutan semula pada 23 September depan,” katanya.

Peguam Md. Yunos Shariff yang mewakili tertuduh tidak membantah permohonan pihak pendakwaan itu.

Mahkamah kemudiannya membenarkan kesemua permohonan tersebut.

Kosmo! sebelum ini melaporkan Mohd. Saifullah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 18 pertuduhan meminta dan menerima rasuah bernilai RM3.1 juta berhubung kempen dan tender iklan Tourism Malaysia, tahun lalu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI