Oleh ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
JELEBU – “Setiap kali bertempur, saya akan pertaruhkan nyawa demi negara.”
Itu luahan bekas anggota askar, Ramly Mohd. Sharif, 89 ketika mengenang tugasnya mempertahankan negara daripada ancaman komunis sejak tahun 1949.
Menurut Ramly, dia memasuki perkhidmatan askar Melayu pada November 1949 dan berkhidmat selama lapan tahun.
Bagaimanapun, sepanjang tempoh singkat tersebut, beliau mendedahkan telah terlibat dalam kira-kira 50 pertempuran menentang penjajah komunis.
“Saya bersyukur sepanjang bertugas selama lapan tahun, saya tidak mengalami sebarang kecederaan. Saya anggap ia sebagai satu keajaiban, namun sedih kerana teringat rakan-rakan yang terkorban dalam pertempuran.
“Saya antara askar Melayu termuda ketika itu kerana memasuki tentera pada usia 16 tahun. Sepanjang lapan tahun itu saya banyak menghabiskan masa di dalam hutan memburu komunis,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Titi, di sini baru-baru ini.
Mengimbau kembali, Ramly berkata, selepas memohon menjadi anggota tentera, dia telah menjalani latihan selama lapan bulan di Port Dickson dan kemudian diserap ke Batalion Ketiga Askar Melayu.
“Saya kemudian menjalani latihan di Kem Si Rusa, Port Dickson selama lapan bulan. Pada waktu itu ada yang mengatakan saya masih tidak cukup umur, namun ada pegawai yang memilih saya kerana dia melihat saya bersemangat dan matang.
“Selepas enam bulan, saya dihantar ke Kem Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan dan berulang alik menjalani operasi di dalam hutan selama beberapa bulan. Pada 1951 saya juga telah dihantar bersama platun bagi satu operasi di Endau, Mersing, Johor,” katanya.
Tambahnya, selepas lapan tahun berkhidmat sebagai tentera, dia mengambil keputusan untuk berhenti selepas tawaran diberikan oleh kerajaan.
“Tawaran diberi kerajaan kepada askar sama ada mahu terus berkhidmat atau berhenti berikutan keadaan pada waktu itu agak aman, jadi saya ambil pilihan berhenti.
“Susulan perkhidmatan diberikan, saya dianugerahkan pingat oleh kerajaan British dalam satu majlis di Ipoh pada 1956. Berbekalkan wang tamat perkhidmatan berjumlah RM750, saya pulang ke Kuala Klawang dan melakukan pelbagai pekerjaan bagi menyara kehidupan,” katanya.
Dalam pada itu, Ramly turut berkongsi pengalaman dan mengakui kehidupan penduduk ketika zaman komunis memang sukar.
“Nak makan pun sangat susah kerana komunis bermaharajalela dan rakyat pula terpaksa hidup dalam ketakutan,” katanya.