Oleh NUR SYAZWANA MANSOR
SUNGAI PETANI – Hasrat seorang gadis untuk menempah kereta idamannya tidak kesampaian apabila dia maut dipercayai akibat keracunan gas karbon monoksida di Permatang Pauh, Pulau Pinang awal pagi ini.
Mangsa, Ayuni Shazwanie Shabri, 21, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang berhenti di sebuah stesen minyak di Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dekat Permatang Pauh.
Dua rakan mangsa yang turut maut ialah Sharifah Fariesha Syed Fathi, 21, dan Nor Adilah Mohd. Safwan, 21.
Pasangan kembar Nor Adilah iaitu Nor Aqilah dilaporkan kritikal.
Bapa kepada Ayuni, Shabri Ahmad, 54, memberitahu, anak gadisnya itu ada menyatakan hasrat untuk membeli sebuah kenderaan utiliti sukan Proton X50.
“Arwah ajak saya menemaninya untuk buat tempahan tetapi hasratnya itu tidak kesampaian.
“Bagaimanapun, saya berniat akan cuba menunaikan hasrat arwah dengan membeli kenderaan tersebut,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Katanya, arwah anaknya merupakan seorang yang ceria dan manja.
Menceritakan kejadian, menurut Shabri, anak bongsu daripada empat beradik itu keluar rumah kira-kira pukul 2 petang semalam bersama tiga rakan karibnya.
Katanya, kira-kira pukul 9.15 malam semalam, arwah menerusi aplikasi WhatsApp memaklumkan kepada ibunya, Zalina Othman, 53, bahawa mereka berhenti di tempat kejadian kerana seorang rakannya pening akibat mabuk laut.
“Kami tunggu sehingga pukul 11 malam dan dia masih belum sampai ke rumah menyebabkan saya mengambil keputusan untuk mencarinya,” ujarnya.
Menurut Shabri, sebaik tiba di lokasi kejadian, dia mendapati anaknya dan tiga rakan dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Saya sekeluarga masih terkejut dengan kejadian ini, namun reda dengan ketentuan ini,” katanya.
Jenazah Allahyarham Ayuni Shazwanie selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Petani pada pukul 6.20 petang tadi.-K! ONLINE