ROM, Itali – Pemain ranking No. 25 dunia, Dayana Yastremska mempamerkan aksi dalam kelas tersendiri untuk menewaskan Camila Giorgi dengan keputusan 7-5, 6-7, 6-4 untuk melangkah ke pusingan kedua Terbuka Itali semalam.
Kata Yastremska, aksi yang memakan masa hampir tiga jam itu cukup memenatkan terutama apabila Giorgi memberi saingan cukup sengit pada set kedua untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.
“Apa lagi yang boleh saya rasa selain penat yang cukup ketara. Namun, agak malang buat Giorgi kerana setiap perlawanan kena ada yang menang dan tewas tetapi kedua-dua pemain telah memberikan seratus peratus pada perlawanan ini.
“Secara keseluruhan, saya telah beraksi dengan baik seperti yang dirancang, cuma pada set kedua saya agak kecewa kerana tewas pada penentuan tie-break walaupun sudah telah berada di ambang kemenangan.
“Namun, saya kekal fokus untuk menang set penentuan dan saya tidak boleh terlalu gembira dengan kejayaan ini dan fokus untuk aksi seterusnya menentang Amanda Anisimova di pusingan kedua esok (hari ini),” katanya.
Sebagai rekod, Yastremska telah mengambil keputusan untuk bergerak solo tanpa diiringi jurulatih selepas tidak lagi bersama Sascha Bajin selepas gagal mempamerkan aksi yang diharapkan pada Terbuka Amerika Syarikat yang lalu.
Sementara itu, pemain kelahiran Belgium yang juga pilihan ke-11 perlawanan, Elise Mertens turut mara ke pusingan kedua selepas menewaskan Hsieh Su-wei dengan kemenangan straight-set 6-3, 6-1. – AGENSI